07 July, 2011

sajak

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.


1. 7. 11. A. SAMAD SAID
 
dihimpit ribuan manusia
meludahi anak bangsa aku
mencabul kedamaian aku
merogol bahasa aku

menggadai tanah yang tumpahnya warna aku

sewenangnya dia menjadi luncai
merampas keringat mereka
menghumban nilai diri
terjun bersama labu
yang membawa kegemilangan yang bukan milik dia

di gegak-gempita-nya hikayat dogengan
agar luncai berteman
agar luncai tidak terus menjadi luncai.
agar bulan dapat dicapai
agar langit dapat disentuh

aku masih dengan warna ini.

warna amarah pada dia
yang meludah pada warna daulat negara ku
membawa palit kotor


umpamanya daulat negaraku bukan dijunjung
tapi di tapak kakinya di jalanan.


jangan kau ludah warna daulat negara ku
konon atas nama mencari bersih.


.bidadaripicisan. 
 
memilih benar di utus yang salah
menjilat pangkat rakyat diludah
bersuara halus disambut angkuh
dipinta telus bayang merusuh

silat dirapi mengugut bumi
kuasa di lambung menongkat diri
daya kami menyerah ilahi
tercabar kuasa memakan diri

hati pedih merintih pilu
kudrat jelata di perah laju
buncit pemerintah rakyat dilapah
ingin berubah harganya darah

menyogok kata aman sentosa
pemimpin dayus pemilih ternoda
memilih fitnah merobek rakus
bangkitlah kita bangun menebus