09 January, 2011

HAKIKAT DEMAM

HAKIKAT DEMAM 

"Demam berasal dari kepanasan neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air"
(Hadith Bukhari dan Muslim) 
 
Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka. 

Adapun maksud "mendinginkannya dengan air" itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air. 


MENGELUH DAN MENGADU KERANA DEMAM

Apakah perbuatan ini diharuskan dalam agama? Sebenarnya kita tidak dilarang untuk mengadu atau mengeluhkan kesakitan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Nabi SAW sendiri, para sahabat dan pengikut-pengikut mereka, pernah mengadukan kesakitan mereka.
Adapun yang dimaksudkan dengan larangan mengadukan kesakitan kepada sesama manusia itu ialah mengadukannya dengan cara merasa jemu dan benci dengan penyakit itu. Tetapi jika seseorang menceritakan penyakitnya kepada kawan-kawannya supaya mereka dapat mendoakannya sembuh, maka tidaklah menjadi satu kesalahan. 


MENCACI MAKI DEMAM 

Seorang muslim yang beriman, hendaklah memiliki sifat sabar dan tidak mengeluh apabila ditimpa demam. Orang yang tidak mempunyai sifat sabar semasa ditimpa demam, tidak akan dapat mengawal dirinya dari mencaci maki penyakit ini, sedangkan kita dilarang berbuat demikian. Terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA yang maksudnya :
"Bahawasanya Rasulullah SAW telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bersabda : "Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil? Jawabnya : "Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya".
Nabi SAW bersabda : "Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana dia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi". (Hadith Riwayat Muslim) 

DEMAM PENEBUS DOSA
Hadith daripada Jabir RA yang di atas, mempunyai maksud yang sama. Jelasnya, kedua-dua hadith ini menerangkan bahawa demam yang menimpa seseorang itu boleh menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu.
Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa serta akan memantapkan keimanan. 

Syukbah Dakwah, Masjid Negeri Sabah (Bil 32/07)
Lawati : http://www.sabah.org.my/mns